
‘ MEREKA YANG TERTEWAS’
artikel asal boleh baca di sini, sini dan sini
Bermula penceritaan di Padi Setempat. Disebabkan pendapatan hasil berhuma amat kecil, Tapa mengalih kerjayanya dengan mengambil ipah mengayuh perahu penambang kepunyaan bapanya. Upah membawa penumpang sebanyak satu sen dari seberang tebing Padi Setempat ke tebing Bukit Mata Beralih pada waktu itu sudah cukup lumayan Di kaki Bukit Mata Beralih itu terdapat kedai barang-barang runcit milik keluarga Chee Keong. Kedai inilah yang menjadi tumpuan penduduk Padi Setempat untuk mendapatkan bekalan barang-barang keperluan.
Perkhidmatan perahu penambang Tapa menghadapi saingan daripada perkhidmatan perahu penambang yang diusahakan oleh Midin. Tetapi disebabkan Tapa lebih cekap mengendalikan perahu penambangnya, penumpang lebih yakin menaiki perahu Tapa. Suatu hari, perahu penambang Midin karam di dalam arus deras Sungai Lepeh. Dengan pertolongan Tapa, Mimah dan Mak Bibah yang hampir mati lemas dapat diselamatkan oleh tapa. Tapa tertarik dengan kecantikan dan keramahan Mimah. Pada ketika lain, Tapa menyatakan hasratnya ingin mengambil Mimah sebagai isterinya. Mimah tidak menolak malah meminta Tapa menemui keluarganya.
Ternyata Mak Bibah, ibu Mimah menolak peminangan ke atas Mimah. Penolakan itu disebabkan pada pandangan Mak Bibah, Tapa itu berasal daripada keluarga miskin juga daripada keturunan yang tidak mulia. Sebenarnya Tapa memang miskin tetapi dia dari keturunan Sultan Hasanuddin dan Pandikar Ali dari Tanah Makasar. Kedua-dua pahlawan bangsa ini memang memusuhi penjajah Belanda di Indonesia. (1) Penolakan peminangan ini menyebabkan Tapa patah hati. Dia jatuh sakit beberapa bulan. Setelah sembuh, Tapa mengambil keputusan merantau meninggalkan Padi Setempat.
Sewaktu Tapa hendak berangkat meninggalkan Padi Setempat, Mimah datang menemuinya di tambatan Sungai Lepeh. Mimah ingin mengikuti Tapa. Tapa enggan membawa Mimah pergi. Dia tidak mahu nama baik keluarganya menjadi buruk lantaran perlakuan membawa anak dara orang. Midin pula berjanji akan menjaga kedua ibu bapanya sepanjang waktu Tapa di perantauan. Marwan dan Mak Bedah, ibu Tapa turut rela melepaskan Tapa pergi. Marwan sendiri merungkai tali perahu Tapa bagi membolehkan perahu meluncur dalam arus Sungai Lepeh.
Setelah menghilirkan perahu selama seminggu, akhirnya Tapa naik ke tebing Sungai. Dia berjalan dan sampai di hadapan Madrasah An-Najjah Bukit Keledang. Di sinilah dia menyaksikan sendiri penghargaan Imam Mat terhadap kewibawaan keluarganya.
" Siapa dirimu ini, maksud Pak Guru namamu? "
" Tapa1"
" Asalmu? "
" Padi Setempat."
" Ibumu siapa namanya? "
" Bedah."
" Bapamu? "
" Marwan."
Pucuk mangga yang meneduhi seluruh halaman pondok madrasah Bukit Keledang direnung oleh Imam Mat. Di laut fikirnya cuba mengingati apakah ia mengenali nama-nama yang disebut oleh Tapa. Kening Imam Mat sekali-sekala berkerut. Anak-anak pondok Bukit Keledang hanya menjenguk mukanya daripada jendela madrasah. Mereka tidak dibenarkan oleh Imam Mat untuk menghampiri manusia yang masih terlalu asing bagi mereka itu.
" Benar-benarkah kamu ini berasal dari Kampung Padi Setempat? "
" Benar Tuan Imam."
"Benar-benarkah Marwan itu bapamu? "
" Benar."
"Benar-benarkah Bedah itu ibumu? "
" Benar...kenalkah Tuan Imam kepaa mereka? "
" Ya! "
Tapa terjelepok di tengah halaman madrasah Bukit Keledang. Dia amat terkejut. Bagaimanakah ibu dan bapanya yang terlalu daif itu dapat dikenali oleh orang-orang yang semulia Pak Imam di hadapannya itu.
" Kamu anak keturunan orang yang baik-baik, tapi kenapa kamu boleh jadi seperti ini, nak? "
Hari itu Tapa benar-benar menangis. Kata-kata orang semulia Imam Mat yang memperakui kemuliaan keturunannya amat mengharukan hatinya (2)
Imam Mat yang mengajar di madrasah itu mengajak Tapa mendalami ilmu agama Islam. Tapa tidak keberatan. Ini disebabkan dia tiada pilihan tempat lain hendak ditujui. Dia kemudiannya menjadi anak didik Imam Mat.
Semasa di madrasah ini, Tapa mempelajari cabang-cabang ilmu agama dengan mendalam. Dia juga mempelajari Pencak Silat Seribu Kalimah daripada Imam Mat. Di madrasah ini juga, Tapa mendapat berita daripada Midin bahawa ibu bapanya dan Mimah telah meninggal dunia. Walaupun begitu, faktor kematian Mimah semacam penentu bagi Tapa melupakan terus dunia Padi setempat. Perasaan pilu dan sayu hati Tapa dapat dikesan seperti berikut:
" Mimah? Sudah berkahwinkah Mimah? Siapa suaminya? "
" Kamu masih mengingatinya Tapa? "
" Ya.. setiap lepas sembahyang, saya berdoa semoga hidupnya diberkati Allah, dimasukkan oleh Allah di kalangan manusia yang suci dari fitnah."
" Doamu diberkati Allah, Tapa."
" Maksudmu, Mimah telah sempurna hidupnya kini? "
" Lebih daripada itu."
" Saya tidak faham maksud kata-katamu itu, Midin."
" Mimah telah pergi menemui Tuhannya dengan membawa cinta kasihnya padamu yang tiada sempadannya itu."
" Mimah!!! "
Hari itu Tapa benar-benar merasai dunia ini terlalu kosong. Dunia ini sudah terlalu sempit untuk didudukinya... . (3)
Faktor kegagalan percintaannya itu adalah faktor terkuat kenapa Tapa tidak kembali ke Padi Setempat. Walaupun dia tahu di Padi Setempat itu ada kuburan ibu dan bapanya, tetapi peristiwa kegagalan percintaannya dengan Mimah semacam satu igauan ngeri sepanjang hidupnya. Hal ini dapat dilihat daripada pengakuan Tapa sendiri.
" Saya tidak sanggup untuk melihat tambatan di tepi Sungai Lepeh itu," Lebai Pa menyuarakan sesuatu yang amat pilu di hatinya.
" Tambatan itu telah dirobohkan 20 tahun lalu. Sekarang ini sebuah jambatan berdinding besi telah mengantikan tugas perahu penambang untuk membawa penduduk yang hendak pergi balik ke tebing Kampung Padi Setempat atau ke tebing Bukit Mata Beralih.
" Hutan Bukit Mata Beralih selalu mengingatkan saya tentang kesungguhan bapa saya membantu saya mencari wang buat peminangan yang gagal itu," Lebai Pa memberi alasan lagi.
" Hutan itu sudah tidak ada lagi. Hutan itu telah ditebang oleh Tauke Chee Keong, anak Tauke Ah Tong. Hutan itu sekarang telah ditanam keseluruhannya dengan pokok-pokok getah." (4)
Setelah lima tahun mempelajari ilmu agama di Madrasah An-Najah Bukit Keledang, Tapa meminta kebenaran Imam Mat untuk meninggalkan madrasah itu. Imam Mat tidak keberatan melepaskan pemergian Tapa. Tetapi sebelum meninggalkan madrasah itu, Imam Mat telah mengahwinkan Tapa dengan Jemilah, anak saudaranya. Pasangan ini diminta oleh Imam Mat menetap di Kampung Bukit Setugal. Di kampung itu terdapat anak-anak murid Imam Mat yang kukuh pegangan agamanya bernama Imam Resat.
Berpindahlah Tapa dan Jemilah ke Kampung Bukit Setugal. Di sini, Tapa dan Jemilah telah bekerja membina kehidupan. Setelah menetap di Bukit Setugal hampir 35 tahun, Tapa dan Jemilah telah memiliki 10 ekar kebun getah, dua ekar tanah sawah dan 2 ekar tanah kampung. Mengenai tanah peninggalan bapa Tapa di Padi setempat, tanah itu telah diamanahkan oleh Tapa kepada Midin untuk diwakafkan. Harta itu semacam telah dilupakan oleh Tapa dalam kehidupannya.
Semasa di pekampungan Bukit Setugal ini, Tapa berkesempatan mempelajari ilmu-ilmu Islam daripada Imam Resat. Dianggarkan selama 25 tahun dia mempelajari ilmu agama daripada Imam Resat. Tetapi malangnya, setelah Imam Resat meninggal dunia, Tapa tidak meneruskan usaha-usaha dakwah Islamiah yang dilakukan oleh Imam Resat selama ini.
Di Bukit Setugal, Tapa lebih dikenali dengan gelaran Lebai Pa. Penghormatan masyarakat Bukit Setugal amat tinggi kepadanya. Lebai Pa selalu dipanggil ke majlis kenduri-kendara. Pernah dia memangku jawatan jurunikah yang berurusan dengan Jabatan Agama Islam Daerah Kalisendung. Pernah juga dia menjadi imam sembahyang Jumaat ketika ketiadaan Imam Min. Namun begitu, Lebai Pa amat kurang memerhati perubahan masyarakat dari hari ke sehari. Malah di Bukit Setugal pun, dia tidak mempunyai ramai anak-anak muridnya.
Atas kesedaran dia tidak mempunyai anak didik dalam bidang keagamaan serta menyedari masyarakatnya semakin pincang, Lebai Pa bercadang ingin membuka kelas agama. Hasratnya itu disokong oleh Jemilah, isterinya. Dia bercadang hendak berbincang hal tersebut dengan Mat Yasin, Imam Min dan Uda Puat. Tetapi oleh kerana kematian Senah, hasrat itu terpaksa ditangguhkan. Setelah tujuh hari kematian Senah, Lebai Pa pergi menemui Imam Min. Persetujuan Imam Min amat penting kerana Imam Min pada waktu itu ialah Imam sembahyang Jumaat di Bukit Setugal.
Dalam pertemuan Lebai Pa dengan Imam Min, Lebai Pa bersungguh-sungguh mengajak Imam Min mempelopori usaha-usaha dakwah Islamiah di Bukit Setugal. Imam Min yang pada waktu itu baharu sahaja berkahwin dengan wanita suku abad ternyata berat hati untuk mempelopori usaha dakwah itu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas seperti berikut:
" Sejak arwah Imam Resat meninggalkan kita, surau kita sudah tidak semakmur dahulu lagi. Bersembahyang jemaah pun susah hendak didirikan. Masyarakat pula sudah jauh daripada ajaran agama. Maksiat bermaharajalela di sekeliling kita menunggu kesempurnaannya. Apakah kita hendak biarkan sahaja diri kita, keluarga kita dilanda oleh angkara kemungkaran itu. Apakah tidak ada lagi sisa-sisa tenaga kita untuk membetulkan keadaan yang semakin pincang ini? " Lebai Pa meluahkan segala kesimpulan yang menjadi tanda-tanya kepada Imam Min sejak tadi.
" Kata-kata Lebai itu memang benar. Saya juga pernah berfikir begitu tapi saya sendiri pun tidak nampak jalan penyelesaiannya."
" Penyelesaiannya dengan menyatakan tanpa takut dan ragu-ragu akan kebenaran Islam yang bersumber kepada al-Quran dan Sunnah Baginda Rasulullah s.a.w. Kita didik anak-anak yang masih kecil mendekati al-Quran, memujuk anak-anak muda supaya kembali kepada p[enghidupan Islam dan memenuhi kehidupan mereka dengan menuntut ilmu, membangkitkan kembali semangat kepada orang dewasa dan orang-orang tua supaya membentuk kembali akhlak yang mampu menjadi contoh kepada anak-anak mereka," Lebai Pa bertegas. Segala kata-katanya itu telah dikarang untuk diluahkan sejak semalam lagi. Imam Min mesti ditarik bersama-sama memperjuangkan ajaran Islam yang mempunyai matlamat yang jelas itu.
" Susah Lebai, susah untuk menjalankannya. Bagi diri saya yang serba lemah dan serba kekurangan ini, cukuplah saya menjaga diri saya dan keluarga saya dari diresapi oleh segala penyakit yang meresapi masyarakat Kampung Bukit Setugal ini," Imam Min mengaku terus-terang pendiriannya terhadap apa yang dikemukakan oleh Lebai Pa.
Hati Lebai Pa bagaikan terjerit-jerit, terpekik-pekik dan terlolong-lolong mendengar kata-kata Imam Min itu. Apakah itu kata-kata yang layak diluahkan oleh seorang Imam? (5)
Namun begitu, Lebai Pa tetap bertekad hendak mempelopori semula penyebaran syiar Islam di Bukit Setugal. Untuk itu, dia telah berpakat dengan Mat Yasin, Uda Puat dan Pudin. Mereka bersetuju tarikh 10 Muharram sebagai tarikh mula pembukaan kelas agama di surau Bukit Setugal. Satu kenduri kecil akan diadakan dan kepala keluarga di Bukit Setugal akan dijemput mendengar taklimat pembukaan kelas agama itu.
Tetapi perancangan Lebai Pa itu tidak menjadi kenyataan. Mat Yasin terpaksa pergi ke Paya Jaras untuk menguruskan harta pusaka peninggalan bapanya. Sementara itu, Uda Puat terpaksa menghantar isterinya yang sakit ke hospital. Pada 12 Muharram, mereka dapat berjumpa semula. Namun begitu, perbincangan lanjut tentang perancangan membuka kelas agama itu tertangguh. Ini disebabkan Imam Min yang datang ke surau menggesa Lebai Pa menghalang niat Pak Soh, ketua kampung yang hendak memindahkan tapak masjid baru dari tanah waqaf Imam Resat ke kawasan tanah lapang berhampiran reserve parit dan jalan raya.
Bertolak dari sini, Lebai Pa menghabiskan waktu membuat kajian daripada kitab-kitab agama mengenai tanah wakaf. Dengan bantuan Mat Yasin, kitab-kitab tersebut diperolehi. Pada hari Jumaat, setelah selesai berjemaah solat Jumaat, Pak Soh hendak membuat undian menentukan tapak masjid baru. Tetapi dengan tegas, Lebai Pa menyatakan penentangan terhadap hasrat Pak Soh itu. Pandangan Lebai Pa itu mendapat sokongan para jemaah. Dengan itu, Pak Soh terpaksa menarik kembali cadangannya. Pak Soh kecewadan berdendam terhadap Lebai Pa.
Rupa-rupanya penentangan Lebai Pa ke atas hasrat Pak Soh itu membawa kesulitan kepada Lebai Pa. Fitnah-fitnah bertebaran memburuk-burukkan keperibadian dan perjuangan Lebai Pa. Islam adalah agama yang menyeluruh, mencakup semua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan, atau pun pemerintah dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan pemikiran. Akidah yang benar dan ibadah yang sah." (6)
Rupa-rupanya penentangan Lebai Pa ke atas hasrat Pak Soh itu membawa kesulitan kepada Lebai Pa. Fitnah-fitnah bertebaran memburuk-burukkan keperibadian dan perjuangan Lebai Pa. Di hadapan Sheikh abdul Qahar, Lebai Pa menegaskan inti perjuangan Islamnya seperti berikut.
Islam adalah agama yang menyeluruh, mencakup semua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan, atau pun pemerintah dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan pemikiran. Akidah yang benar dan ibadah yang sah." (6)
Ruanglingkup dakwah yang ingin disampaikan oleh Lebai Pa itu ternyata sangat bertepatan dengan tasawur Islam. Malah dalam perjuangan yang hendak ditempuhinya, ternyata Lebai Pa mempunyai keyakinan dan keteasan yang jitu. Ini dapat dilihat lagi dalam pengakuannya berhubung arah tuju dakwah Islamiahnya.
" Jika pada pandangan tuan, apa yang saya perjuangkan ini adalah salah, saya rela dihukum. Saya rela! Jika saya dipenjara, saya berkhalwah. Jika saya dibuang negeri, saya melancong. Jika saya dibunuh kerana menegakkan perjuangan suci ini, saya mati syahid."(7)
Melalui pertemuan dengan Syeikh Abdul Qahar, Lebai Pa mengetahui bahawa Tuan Kadi itu ialah anak Midin, shabatnya di Kampung Padi Setempat. Lebai Pa berasa terharu. Syeikh Abd. Qahar sendiri menghantar Lebai Pa pulang. Di rumah Lebai Pa, Syeikh Abd. Qahar mencadangkan supaya Lebai Pa mendirikan sekolah agama berhampiran rumahnya. Dia berjanji akan membantu Lebai Pa mendirikan bangunan madrasan dan membekalkan tenaga pengajar. Lebai Pa bersetuju dengan cadangan itu.
Rupa-rupanya sewaktu pemergian Lebai Pa ke Pejabat Kadi Daerah Kalisendung itu, Tijah dan Kidam telah pergi ke rumah Uda Puat lalu mengancam Uda Puat. Uda Puat dipaksa menghentikan kegiatan keislamannya jika dia mahu hidup aman damai di Bukit Setugal. Tijah juga telah pergi ke rumah Lebai Pa menemui Jemilah bagi tujuan mengambil semula murid-muridnya yang belajar andam-mengandam. Walaupun begitu, bekas anak murid Tijah itu tidak mahu lagi belajar andam-mengandam. Ini menaikkan kemarahan Tijah. Tijah mencaci keperibadian Lebai Pa di hadapan Jemilah.
Sesungguhnya Lebai Pa tidak mengetahui ancaman Tijah dan Kidam itu sehinggalah Mat Yasin memberitahu hal itu kepadanya. Mat Yasin juga kelihatan lemah semangat setelah Uda Puat mengambil keputusan menarik diri daripada barisa pelopor dakwah Islamiah di Bukit Setugal. Melihat semangat Mat Yasin yang mulai lemah itu, Lebai Pa memberi kata-kata semangat dan perangsang sehingga Mat Yasin kembali bertekad untuk meneruskan perjuangan.
Namun begitu, sebagai manusia biasa, adakalanya semangat itu turun naik. Begitulah yang berlaku kepada Lebai Pa. Tambahan lagi, ancaman dan kata-kata Tijah cukup menjejaskan pendirian Jemilah yang selama ini amat kental keperibadiannya sebagai isteri yang cukup setia dan tidak meragui kesetiaan Lebai Pa. Episod ini dapat dilihat dalam perbualan pada ketika-ketika semangat Lebai Pa dan Jemilah lentur-mundur.
" Tijah mengatakan Pa menyuruh saya mengajar budak-budak perempuan itu dengan tujuan supaya Pa dapat memilih di antara budak-budak itu, seorang perempuan yang nantinya Pa akan jadikan isteri muda Pa."
Lebai Pa tersentak. Kata-kata Jemilah itu bagaikan racun yang amat bisa, memusnah lalu membunuh seluruh jiwa raganya. Patutlah... patutlah Uda Puat tidak sanggup untuk meneruskan perjuangan yang sama-sama mereka terajui. Patutlah Mat Yasin amat rungsing bila menyampaikan pesanan daripada Uda Puat kepadanya tadi. Kata-kata Tijah yang disampaikan oleh Jemilah tadi terlalu bahaya jika merebak ke telinga seluruh penghubi Bukit Setugal yang lebih senang menerima khabar angin tanpa menilai benar salahnya. Pasti... pasti akan ramai anak muridnya akan hilang kepercayaan kepadanya jika mereka itu juga tidak menggunakan pemikiran yang waras meneliti satu persatu benar salahnya tuduhan Tijah itu. Tentu seluruh penghuni Bukit Setugal akan memulaukannya, mencemuh lalu memintanya keluar secara baik dari Bukit Setugal itu. Patutlah...patutlah Imam Min sejak awal-awal lagi tidak sanggup untuk bersama-sama dengannya. Mungkin dia telah dapat mencium lebih awal suasana seperti ini akan berlaku.
" Kalau Pa hendak bernikah lagi, Milah boleh pinangkan budak-budak itu untuk Pa. Milah ini pun sudah tua," Jemilah menyampaikan kerungsingan hatinya bagaikan orang yang tidak ada pedoman lagi.
" Tidak! " Tegas Lebai Pa. Muka Jemilah direnungnya. Jemilah menundukkan mukanya memandang lantai rumah. Rasa kekesalan timbul di dalam hatinya kerana melafazkan kata-kata yang seolah-olah cuba mencurigai kesetiaan Lebai Pa yang dicurahkan kepadanya selama ini. " Saya sudah tua Milah," sambung Lebai Pa bersuara sayu. " Saya sedar diri saya sudah tua. Bukan medannya lagi saya mengejar nikmat dunia yang sementara itu. Cukuplah... cukuplah dengan apa yang telah kita nikmati bersama selama ini," Lebai Pa memejam-celikkan matanya. Semakin dia berbuat begitu, dirasakan matanya semakin pedih. Air-air bening mulai menggenang di bibir kolam matanya.
" Saya menyeru kepada kebenaran Islam bukan untuk mengejar pangkat atau tanda jasa, tidak juga bertujuan untuk meminta sesuap nasi atau upah duitan, tidak berhasrat untuk meminta sanjungan dan kata pujian. Saya melakukan semuanya itu kerana kasih saya kepada penghuni Bukit Setugal ini. Saya ingin membawa mereka daripada cara penghidupan yang jahil tentang hukum-hakam agama kepada kejelasan Islam, daripada kedunguan kepada kebijaksanaan, daripada kesempitan kehidupan kepada keluasan aturan Islam." Lebai Pa mencapai kain serbannya yang tersidah di tepi almari kain lalu menyapu air jernih yang sudah mula berjatuhan dari kolam matanya.
" Sabarlah Pa. Sabarlah. Tuhan tetap menilai setiap apa yang terniat dalam hati Pa itu."
" Sampai hati Tijah menuduh saya begitu."
" Dia itu jahil... tidak berilmu. Janganlah ambil hati sangat."
" Mungkin dia ada masalah lain. Berdoa sahajalah semoga Tuhan meneguhkan hatinya untuk terus dalam jemaah yang akan menyebarkan syiar Islam di Bukit Setugal ini."
" Imam Min sampai sekarang tidak menjenguk muka melihat budak-budak itu belajar."
" Mentuanya di Paya Tubi itu sakit. Kalau mentuanya itu nanti sudah sembuh, mungkin dia ada kesempatan untuk mengajar budak-udak itu nanti."
" Pak Soh... Pak Soh tentu akan terus mencari jalan untuk menghalang usaha saya ini dengan fitnah-fitnahnya yang lebih memedihkan hati saya."
" Janganlah cakap macam itu... tidak baik bersangka buruk kepadanya. Mungkin dia akan insaf bila pegawai dari Jabatan Agama itu menasihatinya nanti. Bawalah mengucap Pa... istighfar." (8)
Tugas dakwah yang paling berat kini ialah meratakan kefahaman Islam dalam masyarakat. Lepai Pa amat merasainya begitu. Oleh itu, Lebai Pa mengambil langkah untuk membina madrasah Islamiah agar ajaran dapat disampaikan. Usaha mendirikan madrasah itu menelan belanja lebih kurang $8,000.00. Namun begitu, menurut Lebai Pa, madrasah itu akan didirikan menurut kemampuan semasa.
Walaupun dalam keadaan keletihan setelah menebas semak-samun di tanah datar di rusuk rumahnya pada sebelah petang itu, Lebai Pa tetap mengajar anak-anak muridnya mengaji al-Quran. Menjelang jam 5.30 petang, berlaku kegemparan oleh jeritan Jemilah di halaman rumah. Lebai Pa mendekati Jemilah. Didapatinya Tijah sedang memeluk Jemilah. Tijah meminta perlindungan diri daripada ancaman Kidam. Sebenarnya Kidam telah memperkosa Tijah. Dia berbuat begitu kerana cemburu oleh kehadira dua orang pegawai jabatan agama ke rumah Tijah.
Jemilah pula meminta Lebai Pa memulihkan Kidam yang gila isim. Lebai Pa enggan. Dia tidak yakin dapat memulihkan kegilaan isim Kidam kerana sudah lama tidak beramal dengan isim-isim persilatan. Jemilah mendesak juga agar Lebai Pa segera memulihkan Kidam sebelum Kidam mengganas dan mencabul kehormatan anak-anak mudir Lebai Pa. Oleh itu, demi menjaga kesejahteraan masyarakat Bukit Setugal, Lebai Pa bersetuju untuk memulihkan Kidam. Dia menyediakan diri dengan amalan sepatutnya dan melangkah menuju ke rumah Pendekar Atan.
Setelah hampir dengan rumah Pendekar Atan, Lebai Pa mendengar bunyi gendang ketawak dipukul. Lebai Pa yakin Pendekar Atan ada di rumah. Dia meneruskan perjalanan dan masuk ke gelanggang silat di hadapan rumah Pendekar Atan. Ternyata Pendekar Atan tiada. Yang ada di situ ialah Majid dan Kidam. Melihat kehadiran Lebai Pa itu, kemarahan Kidam memuncak. Dia cuba menghalang perjalanan Lebai Pa ke rumah Pendekar Atan. Berlaku pertarungan antara Kidam dengan Lebai Pa. Oleh kerana ketuaan usia Lebai Pa dan kurang kudratnya, Lebai Pa dibelasah oleh Kidam. Kidam berhasrat menamatkan sahaja riwayat hidup Lebai Pa.
Tetapi hasrat Kidam itu tidak kesampaian. Dia telah diserang oleh Pudin secara mengejut. Serangan Pudin yang pantas itu menyebabkan Kidam gagal bertahan dan akhirnya Kidam tewas. Berita Lebai Pa dibelasah oleh Kidam itu tersebar ke seluruh kampung Bukit Setugal. Lebai Pa pengsan dan dibaringkan di serambi rumah. Dia diziarahi oleh penduduk kampung. Setelah sedar dari pengsan, Pudin telah mengurut tubuh Lebai Pa. Tepat jam 11.00 malam, Midin dan Syeikh Abd. Qahar sampai ke rumah Lebai Pa. Dengan bantuan Midin, Kidam dapat dipulihkan. Midin mengajak Lebai Pa berziarah ke Padi Setempat. Pada mulanya dia keberatan tetapi akhirnya akur dengan pelawaan Midin itu. Imam Min pula bersetuju mengajar anak-anak muda Bukit Setugal sepanjang pemergian Lebai Pa ke Padi Setempat.
Daripada peristiwa yang telah berlaku itu, Lebai Pa amat menginsafi bahawa kerja-kerja membangunkan Islam perlu dilakukan secara berjamaah. Umat Islam seumpama batu-bata yang saling mengukuh. Dengan perpaduan dan persatuan sahaja, Islam kembali menyinar dan kukuh di bumi Allah.